Langkah Pertama: Panggilan Kepada Syarikat

0

Tidak semua syarikat mempunyai ekspatriat, maka peluang kami  untuk mencari syarikat yang mempunyai ekspatriat sangat terhad. Walaubagaimanapun, kami telah memilih lima syarikat iaitu Sime Darby, Price Water House, Petronas, 8tv dan Carrefour sebagai  pilihan untuk mengatur temujanji bersama ekspatriate mereka. Kami telah membahagikan tugas secara sama rata dimana setiap seorang dari kami perlu menghubungi salah satu syarikat berkenaan. Walaupun banyak dugaan dan halangan yang kami terima untuk mendapatkan persetujuan menemuramah ekspatriat mereka, namun kami tetap tidak putus asa dan terus mencuba. 

SHED HUI
 
"Saya bertanggungjawab menghubungi Syarikat Sime Darby. Syarikat Sime Darby merupakan sebuah syarikat yang besar dan sangat terkenal dimana  ia mempunyai pelbagai bahagian dalam pengurusannya. Pada mulanya, saya menghubungi Wisma Sime Darby yang terletak di Jalan Raja Laut. Kakitangan  yang melayan panggilan saya memberitahu bahawa di cawangan tersebut tidak terdapat ekspatriat. Yang ada hanyalah CEO dan beliau berpendapat, peluang saya untuk mendapatkan temu janji dengan CEO adalah sangat tipis .

Bagaimanapun, beliau tetap memberikan kerjasama yang baik dengan saya dimana beliau telah memberikan nombor telefon cawangan Sime Darby Plantation  yang  mempunyai  banyak ekspatriat. Saya segera menghubungi cawangan Sime Darby Plantation, tetapi kakitangan yang sepatutnya bertanggungjawab melayani panggilan saya sedang menghadiri mesyuarat. Saya diminta membuat panggilan pada hari yang lain. 

Namun begitu, saya tetap tidak berjaya untuk bercakap dengan kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan hal ekspatriat ini walaupun saya telah cuba menghubunginya berkali-kali. Justeru itu, saya nekad meninggalkan mesej suara kepada kakitangan tersebut dengan harapan beliau akan menghubungi saya semula. Harapan saya tidak kesampaian kerana kakitangan tersebut berkemungkinan telah mengabaikan mesej yang saya tinggalkan. Namun, beberapa hari selepas itu, tidak diduga apabila seorang kakitangan Sime Darby yang bernama Cik Suhaila menghubungi saya dan bertanyakan tentang temu janji yang saya harapkan tadi. Kemudian, saya terus menghantar surat dan soalan temu janji melalui email kepadanya dan amat berharap beliau akan membalasnya secepat mungkin. Malang sekali kerana saya telah menunggu hampir seminggu tetapi masih tidak mendapat  sebarang balasan daripada Cik Suhaila. Jadi, saya membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat selanjutnya sama ada berjaya mendapat keizinan temu janji bersama ekspatriat atau tidak. Kejadian yang sama berulang iaitu saya gagal  untuk menghubungi Cik Suhaila  walaupun panggilan telah dibuat beberapa kali. 

Akhirnya saya telah berbincang dengan ahli kumpulan supaya dapat menghubungi syarikat yang lain untuk mendapatkan temujanji dengan ekspatriat. Ini kerana, tidak banyak masa yang tinggal untuk menyelesaikan tugasan ini dan peperiksaan akhir juga sudah semakin hampir."

SURIYA
"Saya bertanggungjawab menelefon Syarikat Price Water House. Panggilan saya amat lancar berbanding dengan panggilan Shed Hui. Saya berjaya sampai ke kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan hal ekspatriat ini tetapi permintaan saya untuk meminta izin menemuramah ekspatriatnya ditolak serta merta atas alasan maklumat pekerja mereka sangat sulit dan tidak boleh di dedahkan."


NOR AZIMAH 
"Saya bertanggungjawab menelefon 8tv. Panggilan yang dibuat oleh saya hampir sama dengan panggilan Shed Hui iaitu terlalu banyak halangan untuk dapat bercakap dengan kakitangan yang sepatutnya. Namun berkat kesabaran, akhirnya saya dapat juga bercakap dengan kakitangan yang bertugas. Saya amat gembira apabila sampai kepada kakitangan bertugas iaitu Mr Joan, tetapi pada masa yang sama permintaan saya telah ditolak kerana syarikat mereka tidak mempunyai ekspatriat."

SITI AZIRAH 
"Saya bertanggungjawab menelefon Syarikat Carrefour. Saya telah membuat panggilan beberapa kali tetapi masih tidak dapat bercakap kepada kakitangan yang bertugas. Maka,  saya mencuba dengan cara lain iaitu menghantar email kepada syarikat Carrefour dan berharap akan mendapat maklum balas daripada mereka. Malangnya email yang dihantar langsung tidak mendapat sebarang balasan dari pihak Carrefour."

YING HWA 
"Saya bertanggungjawab untuk menghubungi Syarikat Petronas. Ada pengalaman yang melucukan semasa saya menghubungi syarikat Petronas ini. Ia terjadi semasa kali pertama saya menghubunginya. Pada masa itu, panggilan saya telah disambungkan kepada bahagian "receptionist" , dan selepas saya berbicara dengan begitu panjang, barulah saya tersedar  yang saya sedang bercakap dengan iklan Petronas. Saya merasakan ianya sangat lucu dan berasa amat malu sekali, mujur tidak ada yang mengetahui akan hal ini, terutamanya pekerja yang bertugas di Syarikat Petronas.

Selepas itu, saya cuba untuk menghubungi Syarikat Petronas beberapa kali lagi, tetapi keadaannya sama saja dengan panggilan yang saya buat pada kali pertama. Oleh itu, saya terpaksa berputus asa untuk menghubungi Syarikat Petronas lagi."


Comments (0)

Post a Comment